Dasar pengurusan aset kerajaan rangsang pertumbuhan - Abdullah
31/03/2009 12:20pm
PUTRAJAYA 31 Mac — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau yakin dasar pengurusan aset kerajaan akan dapat merangsang pertumbuhan yang lebih rancak selaras dengan penekanan terhadap bidang perkhidmatan sebagai tonggak pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Perdana Menteri berkata sistem pengurusan yang sedia ada lemah daripada segi pelaksanaannya yang memberikan kesan tidak berkualiti dan ini bergantung kepada satu fakta iaitu perlunya mempunyai sikap amanah.
“Jika kita orang yang beramanah, tentu sekali kita akan bekerja dengan baik, memastikan apa yang dilakukan itu seperti yang dikehendaki. Semuanya bergantung sama ada kita menganggap tugas yang diberikan itu sebagai satu amanah.
“Jika kita memahami apa ertinya amanah, kita akan jalankan tugas dengan sebaiknya,” katanya ketika melancarkan Dasar Pengurusan Aset Kerajaan : “Aset Negara, Amanah dan Tanggungjawab Bersama” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. Abdullah berkata beliau selalu menitikberatkan pentingnya mempunyai modal insan yang berkualiti bukan hanya daripada segi memiliki ilmu pengetahuan tetapi amanah kerana jika seseorang itu pandai sahaja tetapi malas, tidak bertanggungjawab dan tidak amanah, mereka bukan modal insan yang berkualiti atau yang berharga. - Bernama
No comments:
Post a Comment